Followers

Monday 18 January 2016

Walkman Roslin

Kisah ini adalah kisah benar yang terjadi lebih kurang 16 Tahun yang lalu di sebuah sekolah berasrama penuh. Nama sekolah harus di rahsiakan demi menjaga imej sekolah tapi cukuplah sekadar kita ketahui lokasinya di Selatan tanah air. Nama watak dalam cerita ini ditukar dan tiada kaitan dengan mana2 pihak. Jika ada persamaan, itu cuma kebetulan.

Ceritanya bermula dengan dua orang kawan bernama Laili dan Roslin. Mereka kawan sekelas tetapi berlainan dorm. Tapi dorm mereka bersebelahan. Mereka kurang rapat kerna terpisah dorm tetapi adakala banyak menghabiskan waktu prep bersama untuk menyiapkan assignment yang diberikan guru mereka.

Seminggu sebelum kejadian, Laili dan Roslin banyak menghabiskan masa bersama-sama memandangkan peperiksaan pertengahan tahun hampir tiba dan mereka harus menyiapkan kerja khusus sebelum minggu peperiksaan bermula. Dalam minggu itu Laili perasan ada kelainan dalam sikap Roslin dari kebiasaan. Dia kerap termenung dan kebanyakkan waktu kelihatan seperti cemas dari riak wajahnya. Laili pada awalnya tidak ambil pusing dengan sikap Roslin, akan tetapi bila Roslin sering hilang fokus Laili mula bertanya kenapa dia berperangai sedemikian rupa.

"Wey Lin, kau ni asik salah buat je. Aku tunjuk dah masuk 4 kali dah ni. Asik termenung je, kau berangan apa sebenarnya?"  tanya Laili tegas.

Roslin tersentak dari lamunan dan kembali menumpukan perhatian pada kerja yang perlu disiapkan.

"Sorry Ellie." balasnya ringkas.

Namun dia tetap begitu sehingga 3 hari sebelum kejadian, Roslin mula berani menceritakan hal yang mengganggu fikirannya. Dia menceritakan kepada Laili bahawa dia sering rasa diperhatikan selepas kematian neneknya. Dia adalah orang terakhir bersama neneknya semasa neneknya menghembuskan nafas yang terakhir setelah dalam keadaan nazak sejak sekian lama. Sejak itu dia sering rasa diperhatikan dan sering terlihat bayangan kelibat ketika dia bersendirian. Laili cuma menasihati Roslin dengan mengatakan itu cuma perasaannya sahaja. Sejak itu Laili sering bersama Roslin untuk memberi semangat dan dorongan kepadanya. Laili di sifatkan sebagai seorang yang ceria, ramah dan baik hati. Dalam 3 hari sebelum kejadian, Laili rapat dengan Roslin dan cuma dipisahkan waktu bersama ketika tidur sahaja.

Sehari sebelum kejadian, seorang rakan dorm Laili telah diserang histeria. Setelah diubati oleh Ustaz Syukri  yang juga resident asrama tersebut, pelajar itu telah dibenarkan pulang ke rumah untuk menenteramkan jiwa. Laili meminta Roslin untuk tinggal di dormnya sementara waktu untuk memundahkan mereka melakukan kerja bersama-sama.

Pagi hari kejadian, Roslin terjaga dari tidur jam 7 pagi setelah merasakan seperti dikejut oleh seseorang. Dalam keadaan dorm yang baru hendak terang dan keadaan dirinya yang mamai dia terlihat bayangan tubuh dihadapannya dan menyangkakan itu adalah Laili.

"Ellie, awal lagilah, bagi aku tidur kejap, kan hari Ahad ni...."

Roslin memejamkan matanya dan sambung tidur. Baru saja Roslin hendak terlena, katilnya digocangkan dengan begitu kuat hinggakan dia terjatuh dari katil. Roslin menjadi marah kerana diperlakukan sebegitu.

“Apa ni woiiii !!!!!!!!!!”

Suara teriak Roslin memenuhi ruang dorm itu. Dia memerhatikan keadaan sekeliling, namun dorm itu tiada penghuninya. Roslin bingung, bulu roma ditengkuknya mula naik. Dia dapat merasakan ada seseorang di belakang sedang melihat dia. Wajahnya menjadi pucat. Dia cuba memberanikan diri menoleh kebelakang. Tiba-tiba sahaja, pintu dorm terkuak.

“Lin, asal ko jerit-jerit?” Laili bertanya sejurus selepas dia masuk ke dalam dorm bersama baldi di tangan yang sarat dengan baju yang telah selesai dibasuhnya. 

“Kau ngigau ke wey?” sangka Laili selepas melihat Roslin yang berada di atas lantai bilik. Roslin hanya diam dan kemudian menggangguk perlahan. Roslin bangun mencapai tuala lalu menuju ke bilik mandi.

Pagi hingga ke petang mereka banyak menghabiskan masa di dalam bilik untuk study bersama kerana lebih aman memandangkan semua pelajar menggunakan prep room. 

Selepas Isyak, Roslin baring di katilnya, dia berehat sambil memasang earphone dari Walkmannya untuk mendengar radio lalu terlelap. Tiba-tiba dia merasakan badannya digoncang perlahan dan namanya di panggil lembut. Tiba-tiba perasaan takut mula menghantui dirinya. Dia terkenangkan kejadian pagi tadi. Dia tersedar tetapi menutupkan matanya serapat yang boleh. Tiba2 lengannya di cubit.

“Lin, bangun la Lin...”

Roslin cam akan suara itu, lalu membuka matanya perlahan-lahan. Benar yang memanggillnya Laili. Roslin menggosok matanya untuk melihat lebih jelas.

“Lin, bangun la Lin, teman aku pergi tandas” Pinta Laili sambil masih lagi menggongcangkan badan Roslin.

“Ellie... pukul berapa dah ni? Esok je lah!”

“Kalau aku boleh tahan, takde lah aku kejut kau”

Tiba-tiba Roslin seperti berasakan sesuatu yang tak sedap. Dia berasa seperti mereka sedang diperhatikan. Roslin bingkas bangun, lalu mencapai getah rambut di tepi meja dan mengikat rambutnya. Dia mencapai Walkman di katilnya dan di waktu yang sama Laili terus menarik tangan Roslin mengikutnya ke tandas. Tandas aras itu terletak dihujung block bersebelahan dengan Dorm Laili. Roslin sempat melihat ada cahaya samar dari dorm Laili.
Laili terus bergegas masuk ke dalam tandas dan mengunci pintu. Roslin melihat pada jam di Walkmannya.

“Lin! Kau ade kat luar tak? Jangan tinggalkan aku wey!” Teriak Laili dari dalam Jamban.

“Ellie, aku bagi kau masa, sampai pukul 2 pagi je, lepas tu aku balik dorm.” Jawab Roslin ringkas.

“Sekarang pukul berapa?”  

“Pukul 1.59”

“Woi, mana cukup seminit.”

Keadaan kemudian menjadi sepi seketika.  Roslin sedang berdiri di hadapan tandas sambil mendengar radio di Walkmannya.

“Lin!... Lin!... ooiii kau tinggalkan aku ke Lin!!?” Laili mula cemas setelah tidak mendengar apa-apa jawapan dari Roslin.

“Kau berak je lah, aku tunggu depan tandas ni, dengar radio kat Walkman aku. Busuk lah tunggu depan Pintu” Roslin menjawab pertanyaan Laili yang sudah mula kerisauan.

“Ciss kau ni takutkan aku je, lagu apa woi kau dengar? Nyanyi la sikit hiburkan hati aku yang tengah sakit perut ni.”

Roslin menyanyikan sebuah lagu yang sedang berkumandang di radio Walkmannya. Selain dari cuba menghiburkan Laili, dia menyanyi kerana mahu menghilangkan rasa mengantuk. Kemudian Deejay radio menyatakan akan memutarkan lagu kedua dari penyanyi yang popular pada waktu itu Siti Nurhaliza bertajuk Cindai. Serentak dengan itu, bulu roma di tengkoknya tiba-tiba naik.

“Ellie, kau dah sudah ke?” tanya Roslin yang sudah mula tidak sedap hati.

“Kejap la, alah kau sambung la nyanyi” pinta Laili.

Intro music pun bermula, Roslin hilang rasa gementar setelah mendengar alunan irama lagu tersebut.
Roslin mula menyanyikan rangkap pertama lagu tersebut.       

Cindai la mana, hendak berkhias... Jalinnya lalu rentah beribu.... ”

Tiba-tiba Laili menyambung dari dalam bilik air.

“Cindai di sini, di atas tangki, taringnya panjang, matanya bulat.... berdarah....”

“Woi Ellie, pandai kau tukar lirik. Sedap jugak kau nyanyi.” Celah Roslin sesudah Laili menghabiskan rangkap seterusnya.

Keadaan menjadi senyap sekali lagi. Laili tidak menjawab celahan Roslin sebentar tadi. Suasana sunyi itu tiba-tiba menyebabkan bulu roma di tengkuk Roslin naik sekali lagi. Dengan tapak tangan kirinya, Roslin mengusap-usap tengkuknya dan memandang keadaan sekeliling. Dari ekor matanya, dia terperasan seperti kelibat melintas di tepinya. Namun hilang pabila dia menoleh.

“Ellie, Kau dah sudah belum ni? Cepatlah, aku nak balik ni”
Keadaan masih lagi sunyi, Laili tidak memberikan sebarang jawapan dari pertanyaan Roslin.

“Ellie...”

“Wey Ellie, kau dah sudah ke belum? “ hidung Roslin terhidu bau yang busuk.

“Ellie!!!”
Roslin meninggikan suara bila pertanyaannya tidak disahut Laini. Dia berdiri di hadapan pintu tandas Laili. 
Tiba-tiba...  

“Kau dah tahu kenapa pura-pura buat tak tahu...” Satu suara agak kasar bersuara di balik pintu tandas.

“Ellie?... apa sal suara kau...” Pintu tandas terbuka sebelum sempat Roslin menghabiskan kata-kata.

Roslin menutup hidungnya dengan baju akibat tidak dapat menahan bau busuk. Pintu tandas pun terkuak luas. Seluruh badan Roslin menjadi keras, dia membatu di situ. Degup jantungnya berdenyut dengan laju seakan dia dapat mendengar degupan jantungnya sendiri. Apa yang dinyanyikan oleh Ellie sebentar tadi sekarang berada betul-betul di depannya. Sebuah makhluk berambut panjang mengurai ke bawah sedang mencangkung di atas tangki pam tandas, taringnya panjang menitiskan darah. Ia sedang mengunyah-ngunyah sesuatu yang kelihatan seperti usus.

Roslin mengalihkan pandangannya ke arah titisan darah yang jatuh ke lantai. Barulah dia terpandang akan Laili yang separuh badannya berada dalam lubang tandas. Tangan Laili seakan mencuba untuk mencapai Roslin yang berdiri tegak membatu. Matanya terbeliak, mulutnya tercungap-cungap bunyi seakan tersedak kerana dipenuhi dengan darah. Anggota badannya yang lain berselerak di lantai tandas.

Roslin mahu menjerit, tetapi tiada suara walaupun mulutnya terbuka. Dia mahu melarikan diri tetapi lututnya berasa begitu lemah. Mata makhluk itu kini bertentang mata dengan Roslin.  Roslin mula merasakan keadaan sekelilingnya mula gelap. Tiba-tiba tangannya ditarik keluar dari Tandas itu. Dalam keadaan separuh sedar. Dia mendengar laungan Azan.

Ustaz Syukri yang sedang meronda malam di kawasan Asrama pada malam itu terdengar nyanyian Roslin  dan terlihat akan satu kelibat berterbangan ke arah bilik air di mana mereka berada. Sewaktu dia tiba di hadapan tandas dia terlihat Roslin yang berdiri kaku kelihatan pucat. Dia melihat ke dalam tandas dan melihat lembaga itu yang sedang memakan organ Laili. Dia segera menarik tangan Roslin dan melaungkan Azan di hadapan pintu tandas tersebut. Setelah lembaga itu hilang dari pandangan, Ustaz Syukri menari tangan dan saki baki tubuh badan Laili keluar dari lubang tandas. Laili sudah tidak bernyawa.

 Ustaz itu memasukkan mayat Laili ke dalam plastik hitam dan kemudiannya meminta pertolongan dari seorang Ustazah yang juga resident di asrama tersebut.


Laili selamat di kebumikan di kampung halamannya di Perak. Roslin yang trauma selepas kejadian mengalami tekanan perasaan dan di masukkan ke sebuah Hospital Pakar jiwa yang tidak dapat di tentukan di mana. Kejadian itu di rahsiakan dari pelajar-pelajar lain dan kehilangan mereka diberikan alasan berubat di kampung akibat histeria. 

No comments:

Post a Comment