Followers

Friday 24 April 2015

Lumba lari

Pernah kau rasa kesukaran ketika merangkak? Dan kau tak sabar nak  berlari. Lepas tu kau timba segala ilmu untuk membolehkan kau berlari. Kau ingat perasaan kau pertama kali kau berjaya lari? Kau kemudiannya mahu pergi lebih laju lagi. Lalu kau teruskan menimba ilmu bagaimana mahu berlari lebih laju dari kelajuan kau sekarang. Tanpa kau sedar, kau dah tinggalkan semua yang lain di belakang. 

Kau gembira tak terhingga, kau berasa bangga. Berasa kau lebih bagus dari mereka-mereka yang ada. Tapi dalam perjalanan kau berlari, kau lihat masih ada lagi kelibat yang di hadapan. Kau kemudian cuba lagi dan lagi memotong semua mereka hingga kau menjadi yang paling hadapan. Kau sedar, dalam perlumbaan ini, pentingnya stamina untuk terus berlari. 

Satu persatu kau pintas, memberi tumpu dan tidak sedikit pun culas. Waktu kau sangka mereka yang berhenti itu kepenatan dan akhirnya kaulah yang paling hadapan. Barulah kau sedar apa yang telah mereka sedar dan menyebabkan kau juga keluar dari pelumbaan. Membiar mereka-mereka yang mengejar kau kini memintas dan berada di hadapan. 

Di hadapan, tidak ada lagi yang perlu kau kejarkan selain dari bayang-bayang sendiri. Berhenti berlumba tidak semestinya bererti mengalah dan kalah. Sekali sekala kau perlu berjalan untuk tidak kepenatan dan menikmati pemandangan. 

No comments:

Post a Comment